Saya terbaca artikel menarik ditulis oleh Ust Fadli Yusof yang ingin saya kongsi bersama. Selamat membaca.
“Tidak dituntut lagi berhijrah sesudah berlakunya kemenangan menguasai Mekah, tetapi perjuangan agama (jihad) dan niat (yang baik) masih dituntut ” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Untuk menuju ke arah masa depan yang lebih cemerlang, umat Islam perlu punya perencanaan dan perancangan yang teratur. Sama ada bersifat dalaman mahupun luaran. Yang bersifat dalaman merangkumi aspek-aspek penyempurnaan (kualiti) kemanusiaan itu sendiri (membangun insaniah) sesuai dengan kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT.
Manakala yang bersifat luaran merangkumi soal-soal mengatur tamadun dunia ini di atas landasan yang dikehendaki Allah SWT, sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah Allah.
Kalau diperhitungkan dari dulu hingga kini, sudah banyak saranan, buah fikiran, idea, pandangan yang dikemukakan untuk membawa umat mencapai tahap yang lebih gemilang. Cuma kalau saranan itu masih diperingkat ilmu yang terlekat di buku, kertas kerja, syarahan atau kuliah, ini baru boleh diibaratkan sebagai taburan ketulan emas yang memenuhi padang bola. Cahayanya menyinar tapi tidak dapat dimanfaatkan. Lebih baik memiliki seketul emas sebesar penumbuk sedang si pemiliknya pandai mengolah, mencanai, melarik dan mencaing hingga jadi cincin, gelang, rantai subang dan sebagainya.
Hukama berkata: “Ilmu sekati, akal sepikul lebih baik dari ilmu sepikul, akal sekati.” Kerana kalau seseorang memiliki akal yang luas, pintar dan bijaksana, ilmu yang sedikit dapat diamal, dimanfaat dan dikembangkan serta mampu dilaksanakan. Apalagi jika ilmunya banyak.
Merealisasikan ilmu memerlukan pemimpin yang pintar dan bijaksana. Pemimpin yang demikian dapat mengolah ilmu itu menjadi kenyataan hingga berjaya mencetuskan ajaran Islam dalam bentuk yang praktikal. Rasulullah ﷺ, bukan sekadar membacakan wahyu dan para sahabat mendengar. Wahyu yang turun itu lantas dipraktikkan di dalam kehidupan. Maka terserlahlah keindahan Islam, hasil beramal. Menjadi panduan hidup yang praktikal biar di zaman mana pun kita berada, barulah Islam itu kelihatan indah.
Rasulullah ﷺ sebagai penerima wahyu menjadi pelopor dan pencetus pertama dan utama (uswah), barulah diikuti oleh para sahabat. Demikian juga halnya hari ini, sewajarnya pejuang-pejuang Islam, orang-orang yang cintakan Islam, yang inginkan Islam kembali berdaulat dimuka bumi Tuhan ini menjadi pencetus utama sebagai model untuk diikuti. Barulah orang lain dapat menaruh keyakinan bahawa idea kita praktikal. Kalau kita punya idea, yang kita sendiri samar dan keliru terhadapnya, betapalah orang lain.
Mempraktikkan ajaran Islam yang luas ini memerlukan pimpinan. Kerana itu kehadiran dan peranan pemimpin yang bertaqwa dan mendapat pimpinan Allah SWT amat diperlukan. Pemimpin seumpama ini perlu berada di tengah tengah masyarakat Islam. Kerana ia berperanan sebagai nakhoda yang membetulkan dan menyempurnakan kemudi perjuangan. Ia mampu menyusun pengikut dan rakyat jelata mengikut fungsi dan peranan masing-masing. Barulah perjuangan akan lancar dan dapat sampai ke matlamatnya.
Pemimpin yang bertaqwa bukan sahaja mampu menyusun rapi segala yang bersifat lahiriah malah mampu memimpin hati manusia. Dan hati yang terpimpin menjadi salah satu faktor kejayaan umat.
Oleh itu umat perlu berhijrah, dengan membina tapak keimanan dan perpaduan. Menyelaraskan pegangan dan kefahaman. Membina kesejahteraan umat dengan kembali ke fungsi masing-masing. Dan akhirnya binalah kegemilangan Islam ini dengan membangunkan setiap aspek tamadun manusia. Segala ini perlu dibangunkan secara serentak, membaiki diri (membangun insan) dan membangun tamadun lahiriah agar lahir umat yang sejahtera lahir dan batin.
Sayidina Umar Al-Khattab r.a berkata: “Hijrah itu telah membezakan antara yang hak dengan yang batil, maka jadikanlah ia penentuan bagi kamu”
محمد فضلي بن يوسف
07 Disember 2010
Artikel ini ditulis oleh Ustaz Mohd Fadli Yusof, artikel original beliau boleh diakses di http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150101892761719
