Akhirnya M$ ke Chromium Juga

Hari ini adalah hari ke lima saya telah memasang Microsoft Edge (MS Edge) di macOS Mojave yang saya gunakan. Satu lagi langkah mesra sumber terbuka oleh Microsoft dilaksanakan.

Satya Nadella CEO Microsoft memang seorang yang dilihat mesra kepada sumber terbuka berbanding Steve Ballmer. Bermula dengan membuka Azure untuk sumber terbuka ia dilihat satu pembaharuan oleh Microsoft.

Ada satu kenyataan dari Steve Ballmer pada tahun 2001 mengatakan Linux adalah kanser. Antaranya beliau mengatakan “Jika kita mula gunakan sebarang perisian sumber terbuka maka kita harus gunakan keseluruhan perisian daripada sumber terbuka”.( Rujuk : https://www.theregister.co.uk/2001/06/02/ballmer_linux_is_a_cancer/)

Susah jugak pada waktu tu kalau kita yang bekerja dalam sektor ICT nak justifikasi cadangan sumber terbuka kepada pengurusan yang memang percaya kepada kata-kata Steve Balmer dan Micro$oft.

Pada waktu yang sama sebenarnya Apple di bawah Steve Jobs sejak tahun 2000 telah meneroka ke arah sumber terbuka bagi sistem operasi mereka, macOS X pada waktu tu telah mula menggunakan kernel Darwin yang dibangunkan secara sumber terbuka.

Hari ini Larry Page Founder Google dan Steve Jobs Founder Apple telah membuktikan bahawa sumber terbuka bukanlah kanser seperti yang pernah di utarakan oleh Steve Ballmer. Sebaliknya ia telah berjaya menghasilkan beratus ribu pembangun perisian bebas dengan nilai jualan aplikasi mudah alih sahaja telah melepasi USD100 Billion pada tahun 2018.

Tidak dinafikan sejak Microsoft berjaya dalam peperangan pelayar web dengan Netscape Navigator ( Rujuk : https://money.cnn.com/2002/01/22/technology/netscape/) ianya telah meningkatkan saham dan ego Steve Ballmer.

Sebelum ini Internet Explorer (IE) yang menguasai pelayar web dunia dibangunakan oleh Microsoft menggunakan enjin Trident (atau dikenali sebagai MSHTML) juga dibangunkan oleh Microsoft secara sumber tertutup. Penguasaan IE semakin merosot apabila wujudnya Mozilla Firefox dan Google Chrome.

Mozilla Firefox berasaskan enjin Gecko, manakala Google Chrome pula berasaskan Chromium. Kedua-dua enjin tersebut adalah dari sumber terbuka.

Bagi menghadapi saingan yang semakin sengit Microsoft di bawah kod projek Spartan pada 2015, Microsoft seterusnya telah merombak semula Internet Explorer dengan menukar enjin yang baru iaitu EdgeHTML dan dijenamakan sebagai Microsoft Edge.

Tahun ini pada 2019 akhirnya Microsoft telah menyertai beberapa pelayar web seperti Chrome, Opera dan banyak lagi menggunakan enjin Chromium.

Chromium adalah projek pelayar web sumber terbuka daripada Google. Palayar web ini yang berfungsi secara penuh dan sebahagian besarnya di dalam Google Chrome. Banyak pelayar web diluar sana menggunakan enjin chromium antaranya Opera, Vivaldi, Yandex, Comodo dan banyak lagi. Tidak ketinggalan di Malaysia pelayar web yang terbaru dibangunkan menggunakan enjin Chromium adalah Salamweb (Rujuk : https://amanz.my/2019191380/ ) .

Secara peribadi saya boleh katakan Microsoft Edge (MS Edge) versi macOS adalah sangat baik dan lancar. Terutama bagi kerja harian yang menggunakan Office360 yang mana saya lebih suka menggunakan pelayar web berbanding Microsoft Outlook secara natif. Penggunaan secara natif pada email biasanya akan menjejaskan ruang storan Macbook Pro yang saya gunakan. Selain itu MS Edge ini memberi sokongan penuh kepada Touch Bar menyerupai pengalaman menggunakan pelayar web Apple Safari.

Dengan penghijrahan Microsoft ini, saya juga mengharapkan tiada lagi ideologi karut yang mengatakan perisian “proprietary” adalah paling baik. Perisian tunjang seperti Sistem Operasi dan Pelayar Web juga membuktikan bahawa sumber terbuka adalah ruang yang harus diberikan kepercayaan dalam industri berat.

Berikan kepercayaan kepada pembangun tempatan untuk menggantikan perisian seperti Microsoft Dynamic, Sharepoint, Oracle, SAP dan sebagainya yang digunakan di dalam ERP, industri berat, perakaunan dan sumber manusia menggunakan perisian sumber terbuka. Ianya pasti dapat menjimatkan beratus juta bayaran lesen untuk ditransformasikan kepada meningkatkan kemahiran pembangun tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *