Laluanku menggapai MacOS X melalui Linux

Tidak dinafikan sejak saya membaca kejayaan Linus Torvalds melepaskan Kernel Linux untuk developer seluruh dunia, sejak itu saya akan mencuba memasang Sistem Operasi sumber terbuka bila berkesempatan. Percubaan pertama adalah pada tahun 1998 dengan membuat pemasangan Redhat 5.0 (masa ni RedHat Enterprise Linux-RHEL belum ada lagi). Pemasangan pertama tersebut agak mencabar bagi saya, kerana saya hanya mengenali MS Windows 3.11 dan MS Windows 95 dan 98 selain dari IBM-DOS dan PC-DOS.

Saya mengenali beberapa distro Linux di dalam beberapa laman web utama selain yang di host di Geocities dan Tripod pada ketika itu. Senarai pendek untuk saya membuat eksperimen adalah Redhat dan Slackware. Seperti sedia maklum pada ketika itu talian internet adalah mahal dan lembab, ianya di bil mengikut masa iaitu lebih kurang RM1.50 sejam.

Maka penggunaan ketika talian perlahan amatlah merugikan, sudahlah kelajuan modem pon hanya 33.6kbps. Kalau terlebih akses sudah tentu ayah bising. Melalui laman web linuxforum akhirnya saya berjaya menjejaki seorang rakyat Malaysia yang memang membuat urusan muat turun beberapa distro ke PC nya. Nama gelaran dalam ruangan sembang IRC Chat ketika itu adalah Tot. Pada ketika itu saya mengenali bahawa komuniti Linux ini tidak kira dimana sahaja mereka gemarkan perkongsian maklumat tetapi cukup bencikan pemalas mencari maklumat. Apa tu??

Jangan buat muka keliru (confuse) ye, sebenarnya bencikan pemalas mencari maklumat bermaksud, setiap perkongsian itu disimpan secara log di dalam IRC dan juga group newsletter yang disebarkan. Yang penting kena cari, kalau memang tak ada InsyaAllah mereka akan bantu punya.

Baiklah teruskan; dengan mengenali Tot saya berpeluang membeli CD Redhat yang beliau download, harganya ketika itu RM10 walaupun agak mahal berbanding harga di Plaza Imbi (Masa ni Low Yatt Plaza pon tak wujud lagi) tetapi kualiti CD nya sangat baik dan yang paling penting ialah versi distro yang terbaru. Jika ketika itu di Plaza Imbi ada Redhat 4.6 memang ketinggalan lah sebab yang terbaru dilepaskan adalah Redhat 5.0. Versi baru bermakna kernel baru, kernel baru bermakna lebih banyak perkakasan (hardware) yang sesuai. Pada ketika itu komputer yang ada dirumah adalah hak milik ayah, saya terpaksa merayu untuk membenarkan saya membuat pemasangan pertama Linux di dalam PC tersebut, alhamdulillah ayah terima dengan syarat tak mau ada yang hilang atau dalam ayat IT adalah Backup hehe.

Nak backup pon satu hal, mujurlah ada simpanan cakera keras lama yang telah dihambakan hehe (slave ler maksudnya). Nak buat dual-boot terpaksa berfikir banyak kali, jadi yang paling mudah buat boot tunggal terus buang MS Windows. Pada ketika itu saya telah menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual, menaiktaraf dan membaiki komputer di rumah. Pelanggan adalah dikalangan kawan-kawan saya , serta kawan-kawan mak dan ayah saya.

Maka dapatlah duit sedikit naik taraf komputer yang dibeli emak saya 2 tahun sebelum itu seperti RAM dinaikkan dari 16MB kepada 32MB, Sound Card dinaiktaraf dari 16bit Creative kepada 32bit Ensonic, tambah cakera keras dari yang sedia ada 2.1GB Quantum Bigfoot, kepada model Seagate 3.2GB. Quantum tersebut saya jadikan hamba (slave), manakala Seagate sebagai tuan (master) hehe. Apa jadi pada yang lama? saya simpan dan bungkus untuk dijual dipasaran IRC ketika itu.

Cabaran seterusnya bermula selepas berlangsungnya proses pemasangan. Selesai proses pemasangan masalah yang paling besar adalah XServer tidak mengenali kad grafik saya dan kernel tidak mempunyai driver kad bunyi saya. Alangkah sedihnya sebab tak dapat nak dengar Linus menyebut Linux dan proses pemasangan terakhir Redhat. Berbekalkan log-log yang telah saya kumpul ketika berbincang dengan komuniti di dalam IRC (Internet Relay Chat) saya pon mulalah mentelaah dan kehebatan Redhat yang paling baik tanpa windows pon saya masih boleh berinteraksi dengan dunia luar melalui internet walaupun hanya melakukan proses pemasangan rangkaian melalui shell atau dalam MS Windows kita panggil command prompt.

Linux menjadikan skrip sebagai interaksi antara kita dan sistem operasi. Setelah diselidiki kesilapan saya yang paling asas adalah tidak membaca “kernel supporting page” yang menyediakan senarai perkakasan yang sesuai dengan kernel ketika itu. Ianya juga berlaku kepada XServer satu aplikasi driver untuk menghidupkan XWindows (GUI Redhat).

Setelah selsesai mentelaah keputusan yang perlu diambil adalah muat turun XServer yang terbaru dan pasang di dalam Redhat, manakala kad bunyi pula perlukan saya untuk download kernel terbaru, ekstrak dan kompil di dalam Redhat. Bukan itu sahaja kernel yang terbaru itu juga memerlukan saya untuk memasanga semula kad bunyi yang lama dan terpaksa cabut kad bunyi yang baru. Lepas ni terpaksa fikir nak jual kad bunyi tu. Satu kerja yang sangat susah untuk seorang yang sangat baru dalam dunia Linux, ketika itu umur saya 18 tahun. Jika dibanding dengan rakyat Amerika di dalam umur 18 tahun ada yang dah buat program di dalam PC masing-masing.

Saya cuma ada 5 hari sahaja kerana PC tersebut diperlukan oleh ayah untuk buat kerjanya. Saya hanya tidur ketika proses muat turun dan ketika kernel sedang dikompil. Hari yang ke-4 saya berjaya menyiapkan sebuah mesin yang menjalankan Redhat 5.0 dengan kernel terbaru. Membanggakan bila di shell prompt selepas saya masukkan nama login serta katalaluan, kemudia saya taip “startx” dan Xwindow telah hidup dengan cemerlang. Satu pengalaman baru bagi saya. Ketika Xwindows telah hidup baru saya sedar tanpa GUI pon Linux boleh hidup, tanpa GUI juga Linux boleh menjalankan multi-kerja (multi-tasking).

Setelah selesai saya pon dengan bangganya format sekali lagi PC tersebut untuk menjadikan PC tersebut boleh mengoperasikan salah satu sistem operasi pada satu-satu masa. Langkahnya tidak lah semudah seperti sekarang ini, langkah yang perlu saya lalui adalah dengan pasang fdisk partition, pasang MS-DOS, pasang MS Win 98, pasang driver, pasang Redhat, konfigurasikan XServer dan kompil kernel. Sehari suntuk maka selesai lah kerja pemasangan dual boot ketika itu. Dengan distro Redhat saya mengenali saudara mara Linux dan Unix seperti Slackware, Mandrake (sekarang Mandriva), Debian, Suse, BeOS, dan FreeBSD. Redhat dan Slackware adalah yang paling banyak komuniti di Malaysia pada ketika itu berbanding distro lain, manakala BeOS adalah sistem operasi paling cekap dan stabil GUI nya pada pendapat saya. Cuma kelemahan BeOS adalah kurang komuniti dan lebih tertumpu kepada komuniti di Amerika Utara.

Sedikit sebanyak sejarah saya mengenali MacOS;

Apa yang menariknya BeOS bukan sahaja adik beradik kepada Unix malah juga sepupu kepada NeXT. Saya tidak pernah berpeluang untuk mencuba NeXT OS kerana ianya sepenuhnya komersil tidak seperti BeOS yang ada Personal Edition (BeOS PE).  Apa yang menariknya? Menurut komuniti Linux ketika itu BeOS dan NeXT adalah Sistem Operasi mikro kernel yang serupa tapi tak sama. Ketika itu pula Apple diambang kejatuhan dan kesukaran, CEO Apple Inc iaitu Gil Amelio berminat membeli BeOS dari Be Inc dan setelah gagal kerana terlalu mahal mereka cuba pula membeli NeXT yang dimiliki oleh Steve Jobs yang juga pengasas Apple yang terbuang dari Apple pada tahun 1985.

Maka setelah dipersetujui Apple berjaya membeli NeXT dan dipakejkan sekali Steve Jobs sebagai penasihat teknologi di dalam Apple. Langkah ini sebenarnya menjadi penyelamat kepada Apple. Dengan kepakaran inovasi Steve Jobs bersama jurutera-jurutera mereka dari NeXT membantu Apple mengorak langkah baru dengan strategi yang lebih mampan. Saya mengikuti rapat perkembangan tersebut, dan perubahan drastik memang berlaku di dalam Apple, dimana menurut pemerhatian saya beberapa perubahan di dalam MacOS 9 adalah bertujuan mengakhiri platform MacOS Classic dan menyerap fungsi baru yang bakal menggunakan sepenuhnya platform NeXT yang berasaskan UNIX.

Ketika tahun 1 di UPM saya berpeluang memegang Apple PC di makmal, sebahagian PowerPC yang lama telah di asimilasikan kepada Redhat 5.1. Tidak hairanlah disini kerana Linux adalah sistem operasi yang bukan sahaja serasi pemproses 16bit, malah melepasi 32bit iaitu 64bit. Ya Apple komputer memang dari dahulu lagi mampu memproses 64bit berbanding MS Windows yang cukup lama duduk di dalam lingkungan 16 bit dan sejak Windows Vista mereka agresif mengoperasikan 64bit di dalam kempen MS Windows. Sedangkan Linux dan Apple memang sejak dahulu lagi mampu menjalankan sistem pemprosesan dalam 64bit.

Sejak 2001 Apple melakukan revolusi 360 darjah terhadap sistem operasi mereka dengan memperkenalkan MacOS X yang berasaskan UNIX. Ianya bukan setakat lebih stabil malah lebih segar dengan kepelbagaian fungsi yang boleh diintegrasikan pada masa hadapan sama ada dengan teknologi baru atau perkakasan yang bakal diperkenalkan oleh Apple. Selain dari itu ianya juga adalah mesra pembangun (developer) dengan pelbagai Software Development Kit (SDK) yang lebih maju untuk aplikasi masa hadapan.

Malangnya pada ketika itu untuk memiliki sebuah koputer Apple pelaburannya bukan sedikit, malah bukan setakat itu sahaja MacOS X pula masih sangat baru. Kebanyakan aplikasi yang dihasilkan juga mahal dan tidak jauh beza dengan Microsoft, malah Microsoft pula lebih banyak aplikasi yang boleh di dapati melalui “lanun” berbanding Apple. Tidak saya nafikan ianya lebih stabil, tetapi dengan kewangan yang saya miliki saya akan teruskan menggunakan Intel Base dan mengoperasikan MS Windows dan Linux di dalam notebook saya. Saya juga telah lebih mesra dengan distro terbaru Linux iaitu Ubuntu sejak 2006. Itupon CD pertama saya perolehi dari Canonical dihantar ke pejabat saya di Jalan Semarak. Dengan Ubuntu saya boleh menjadikan Linux saya sebuah MacOS jadian.

Tahun ini alhamdulillah dengan sedikit lagi rezeki yang Allah kurniakan, saya telah melangkah setapak lagi dengan mendapatkan sebuah MacBook Pro yang menjalankan sistem operasi MacOS X Snow Leopard. Yang lebih menarik kali ini sejak tahun 2006 Apple telah masuk kedunia pemproses Intel yang mana kini dengan memiliki sebuah mesin Apple saya boleh menjalankan sistem operasi MacOS X, MS Windows dan Linux dalam satu mesin. Di samping itu Apple telah berjaya mengurangkan harga MacBook dan iMac mereka kepada harga yang lebih mempu milik, serta aplikasi yang lebih banyak, lebih mudah dipasang, dengan pilihan harga dari yang mahal murah dan percuma semuanya boleh didapati di dalam AppleStore.

Maka kini saya juga telah memasuki dunia MacOS dan sebenarnya melalui Linux lah saya rasa lebih terbuka untuk merasai dan mengenali pelbagai jenis sistem operasi untuk menambahkan ilmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *